Saturday, February 4, 2012

Negeri Perak... asal nama...

Terbaca blog ni.. and nak mintak pinjam info sebagai bahan rujukan

http://adamayu.blogspot.com/search/label/Sejarah%20Melayu



Kerajaan Purba

Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.

Sebelum munculnya nama "Negeri Perak" Kitab "Sejarah Melayu" ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Prasejarah

Penemuan arkeologi di Kota Tampan di Lenggong membuktikan terdapatnya penempatan manusia Zaman Batu Lama Tanah Melayu.

Malah satu rangka fosil telah dijumpai yang digelar Perak Man. Jumpaan dari carigali menunjukkan negeri Perak diduduki secara terus menerus sepanjang Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam.

Selepas itu Perak juga dijangkakan mengalami zaman Hindu/Buddha, yang tersebar secara menyeluruh semua kawasan di Tanah Melayu.

Asal Usul Nama

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.

Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.

Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak. Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.

Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris di merata perairan Nusantara ini.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/


....



Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Negeri Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari 'kilatan ikan dalam air' yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di buminya.

Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man.

Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.

Ini disusuli pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain kawasan di Tanah Melayu.

Selepas zaman ini, alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman. Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini.

Titik sejarah Negeri Perak sebenarnya bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Walaupun zaman Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa tempatan masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.

Negeri Perak lebih dikenali setelah kekayaan buminya diketahui iaitu ekoran dari penemuan bijih timah di Larut pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar. Dengan kejumpaan ini ekonomi Negeri Perak berkembang dengan pesat dan lebih banyak kawasan perlombongan dibuka. Selain bijih timah, getah juga memainkan peranan yang penting dan ditanam setelah 34 orang Sultan memerintah turun temurun.

Implikasi dari perkembangan ekonomi ini telah mengwujudkan masyarakat majmuk terutama kaum Cina yang bekerja di lombong-lombong di negeri ini.

Inggeris yang telah lama menaruh hati terhadap Negeri Perak telah campur tangan melalui Perjanjian Pangkor l874 setelah wujudnya kacau bilau di Larut. Dari campur tangan ini sistem pentadbiran Residen telah diperkenalkan dengan J.W.W.Birch sebagai Residen pertamanya.

Pada mulanya sistem Residen dijangkakan mendatangkan implikasi yang baik, tetapi kerana pelaksanaannya yang menyeleweng dan ditambah dengan sikap masyarakat pribumi yang tidak mahu dijajah, telah berlaku penentangan yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela. Akibatnya J.W.W.Birch dibunuh pada tahun 1875.

Sistem Residen masih juga diteruskan sehinggalah kedatangan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 194l. Negeri Perak turut mengalami kepahitan semasa pendudukan Jepun hingga tahun l945.

Babak penjajahan Inggeris selepas Jepun menyerah diri belum berakhir, malah diteruskan sehingga darurat berlaku pada tahun 1948. Keganasan banyak berlaku di Negeri Perak yang mana Parti Komunis Malaya bertanggung jawab mengenainya.

Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu kedudukan Negeri-negeri Melayu adalah tidak stabil. Ditambah dengan kemunculan semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan di kalangan rakyat jelata. Inggeris sedaya upaya mengekalkan kedudukannya dengan memperkenalkan beberapa sistem pentadbiran seperti Malayan Union pada tahun l946.

Rakyat jelata mengembeling tenaga bersama-sama dengan pembesar-pembesar negeri telah menentang habis-habisan semua sistem Inggeris. Sehinggalah Inggeris mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu pada tahun l957.

Kemerdekaan Tanah Melayu, bererti kebebasan negeri-negeri gabungannya dan Negeri Perak adalah salah satu dari negeri-negeri tersebut. Perkembangan pesat di semua bidang terus berjalan sehingga sekarang setelah 34 orang Sultan memerintah turun temurun.

Demi mengenang jasa pejuang-pejuang kebangsaan Negeri Perak samada baginda Sultan sendiri mahu pun pengikut-pengikutnya, maka makam-makamnya telah dipulih dan diabadikan serta diisytiharkan sebagai pahlawan tanah air.

Sumber: http://www.prk.icu.gov.my/




....






No comments: