Saturday, February 4, 2012

Sejarah Bugis...Daeng Selili

Pinjam pengetahuan dan rujukan...
http://pakdenoran.blogspot.com/2009/12/sejarah-ringka-daeng-selili.html


TUESDAY, DECEMBER 8, 2009

Sejarah Ringka Daeng Selili....

Daeng Selili adalah satu nama yang cukup gah di negeri Perak.  Beliaulah yang dikatakan
memerangi lanun di Pulau Sembilan, mencadangkan sistem penggiliran Sultan Perak ( adat
Temenggung ), merupakan mufti Negeri Perak yang Pertama, dan mendapat lesen besar
mengalahkan James Bond dengan gelaran Orangkayakaya Maharajalela Pancung Tak Bertanya.

Daeng Selili juga dikatakan sahabat baik "Daeng Kuning" yang juga moyang kepada pengasas Seni Silat Gayung.Almarhum dikatakan ghaib sewaktu hendak disemadikan di Padang Changkat, Kuala Kangsar dan disepakati jasadnya digantikan dengan sebatang tongkat milik beliau.

Mencari maklumat tentang Daeng Selili di internet memberikan banyak cerita yang berbeza-
beza. Salasilah Kerajaan negeri Perak hanya menyatakan bahawa Daeng Selili berkahwin
dengan Raja Su binti Almarhum Raja Mansur, adinda kepada Sultan Muzaffar Shah III yang
memerintah negeri Perak pada tahun 1728-1752. Keturunan Daeng Selili memegang gelaran
Maharajalela di negeri Perak Darul Ridzwan. Namun kalau dilihat kepada forum-forum yang
membincangkan tentang sejarah Melayu, banyak hal-hal lain yang di ceritakan, yang
merupakan cerita-cerita yang diperturunkan oleh orang-orang terdahulu dan tidaklah
termasuk dalam sejarah rasmi. Walaubagaimanapun, saya mendapati beberapa persamaan pada cerita-cerita ini. Beberapa nama yang biasa didengar kerap muncul. Nama-nama seperti
Megat Terawis, Bugis, Daeng 5 bersaudara selalu disebut dalam cerita-cerita ini. Namun
ianya tiada dalam sejarah rasmi negeri Perak.

Sewaktu saya memulakan pengkajian silsilah, nama Daeng Selili muncul apabila dikatakan
berperang dengan moyang saya yang bernama Daeng Hanasah/Nakhoda Hitam yang dikatakan lanun yang berleluasa di perairan negeri Perak. Diperihalkan bahawa kedua mereka ini bersaudara, bahawa mereka ini keturunan Bugis Luwu dan bapa mereka adalah sultan Aceh yang beristerikan putri kepada Pajung Luwu. Tetapi seperti diceritakan di blog saya
terdahulu, fakta-fakta seperti inilah yang menyebabkan saya banyak membaca dan berfikir,
kerana terlalu banyak yang tidak konsisten. Maka inilah cerita versi baru setelah
dikajiselidik berdasarkan beberapa sumber, termasuklah Lontara Sukkuna Wajo....

Alkisahnya pada tahun 1998, Kerajaan Indonesia telah menganugerahi seorang pahlawan
nasional mereka dengan "Bintang Patra" dan "Bintang Mahaputra Aripradana" sebagai
penghargaan kepada jasa beliau yang berjuang memerdekakan Tanah Wajo dari penjajahan
kolonial Belanda. Disebalik perjuangan ini juga, tokoh ini sebenarnya juga telah berjuang
untuk menghapuskan dominasi orang-orang barat di Sulawesi Selatan. Sejarah berulang
kembali apabila keturunannya yang bergelar Dato' Maharajalela juga gugur kerana berjuang
menentang penjajahan Barat di Tanah Melayu........ Pejuang yang menerima anugerah
kerajaan Indonesia itu sebenarnya adalah Daeng Selili.

Daeng Selili sebenarnya adalah pejuang yang menerima julukan "Petta Pammadarekaengngi
Wajona To Wajoe". Beliau adalah La Maddukelleng yang dikatakan lahir pada tahun 1703
Masehi. Ayahnya bernama La Mata Esso Arung Peneki bin Sangkuru Mulajajie Arung Peneki
Mula Sellengnge Arun Matoa Wajo XII ( 1607-1610 ). Ibunya, Tenri Angka Arung Singkang,
saudara kandung La Salewangeng To Tenrirua Arung Matoa Wajo XXX ( memerintah 1715-1736 ).

Kerana inilah juga, La Maddukelleng juga dikenali dengan nama Arung Peneki dan juga Arung
Sengkang. ( Arung ialah gelaran sama seperti Raja/Pemerintah - Peneki dan Sengkang adalah nama-nama tempat ). Selili juga merupakan nama satu tenpat di Samarinda sekarang.

Menurut Lontara Sukkuna Wajo, La Maddukelleng memulakan perantauan dengan ratusan pegawai pada usia belasan tahun. Destinasi pertama beliau ialah Johor, kerana ingin bertemu
dengan saudaranya bernama Daeng Mattekko. Malangnya, setibanya beliau di Johor, didapati
saudaranya sudah dibunuh. Begitu juga dengan isteri Daeng Mattekko yang sedang mengandung... ( satu cerita yang mirip kepada satu karektor dalam sejarah Johor bernama
Megat Sri Rama, Laksamana Bintan ) Harta kekayaannya dirampas oleh To Pasarai, sepupu
Arungpone Batari Toja Daeng Talaga. La Maddukelleng juga menggunakan armada 40 buah
kapalnya membantu Daeng Perani dan saudara-saudaranya dalam peperangan di Johor dan
Kedah.

La Maddukelleng juga sebenarnya pernah mengalahkan dan memerintah Kerajaan Pasir (1726) -salah seorang isterinya merupakan anak kepada Sultan Pasir dan Kutai ( anaknya
dikahwinkan dengan Sultan Kutai ) malah dikatakan penguasaannya sampai ke kawasan
filipina sekarang. Beliau digelar "Gora'e/Bajak Laut" oleh Belanda kerana sentiasa
mengganggu kapal-kapal Belanda yang mengangkut rempah ratus dan hasil-hasil bumi yang
lain. Malah, La Maddukelleng merupakan musuh besar Belanda yang sentiasa mahu
menghapuskan beliau dan keluarganya.

Kerana inilah La Maddukelleng sentiasa berwaspada. La Maddukelleng dan armadanya datang ke Perak sewaktu zaman pemeintahan Sultan Muzaffar Shah III Perak bersama-sama dua orang anaknya yang bernama Petta Torawi dan Petta Tosiangka. Mengunakan strategi memerang lanun, beliau akhirnya berjaya menempatkan anak-anaknya di Perak tanpa memberitahu siapa sebenarnya mereka. Ini merupakan satu muslihat untuk mengkaburi mata musuh-musuhnya daripada terus memburu keluarganya dan memastikan kesinambungan perjuangan keturunannya.

La Maddukelleng sendiri kembali ke Wajo, meneruskan perjuangannya menentang penjajah
Belanda namun datang sekali sekala ke Perak. Anak-anaknya ditinggalkan di Perak, memegang jawatan penting dalam kerajaan Perak, berkahwin dengan anak-anak raja, tanpa pengetahuan Belanda. Keturunannya jugalah yang memegang jawatan Sultan Perak sehingga sekarang, hasil dari perkahwinan cucu Petta Tosiangka/Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam/Daeng Hanasah dengan almarhun Sultan Ahmaddin Shah, Sultan Perak ke 18.

Alfatihah untuk semua mereka ini.

(Menurut Lontara yang sudah dikemaskinikan, dalam susur "Limpo Batang" Lontara Sukkuna
Wajo, nama khaz sudah dimasukkan dan sekarang bergelar Andi Khairul...... )


.....



Daeng Selili dengan Raja Tengah
Semasa Daeng Selili berada di Perak dan berkhidmat dengan Sultan Perak, mengenang jasanya Sultan Perak mengawinikan DS dengan adiknya Raja Tengah. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Daeng Abdullah dengan gelaran Tok Anjang, Daeng Osman dengan gelaran Seri Maharaja, Daeng Mohammad Kader @ Daeng Mat Tara dengan gelaran Tok Tongkat dan yang akhirnya Daeng Nurjilisan (perempuan)

Daeng Tok Anjang dikurniakan seorang anak bernama Daeng Sura ialah bapa kepada Imam Kolah merupakan darah keturunan waris teras penulis. Anak Imam Kolah anaknya Haji Latif, cucunya Haji Latif Abas merupakan ayah penulis (Pakdenoran)

Manaka Daeng Osman atau Tok Seri Maharaja Lela merupakan orang kuat Istana sampai beberapa keturanan menjadi Temenggong dan Penghulu Mukim di daerah Kuala Kangsar. Tok Maharaja Lela berkahwin dengan Toh Kemala Dewi dikurniakan lapan orang anak iaitu Long Loya bersuamikan Bendahara Peduka Raja dengan bermulanya keturan Megat dengan pertama Megat Kassim dan Megat Metaha, Anak kedua Maharaja Lela kedua Ngah Manan, ketiga Alang Maimunah, keempat Andak Radiah, kelima lelaki Anjang Sari, keenam Uda Tahir, ketujuh Busu dan yang bungsu kelapan Nuteh bersuamikan Raja Muda Chulan.

Anak Daeng Selili seterusnya Daeng Nur Jalisan bersuamikan Tok Pandak dikurniakan dua orang anak iatu Dol Fatah dan Imam Muhamad.

Seterusnya anak Daeng Selili ialah Daeng Muhamad Tara @ Daeng Muhamad Kader lebih dikenali dengan Tok Tongkat. Daeng Mat Tara dengan pangkat Tok Maharaja Lela beristerikan Bidan Jalibah dikuniakan beberapa orang anak antaranya Abdul Razak, Nursatin, Kanda Adam, Busu Manjang dan Khatib Manjang.Busu Manjang merupakan datuk nenek menulis.



....

Pesan....
Pakde NoranMay 31, 2010 08:53 AM
Assalammualaikum.

Terlalu ramai orang mengakui bahawa dirinya keturunan Daeng Selili, dengan demikian banyak cerita mengenai sipa dia Daeng Selili, siapa dia Tok Tongkat dan siapa dia Daeng Habib Abdullah. Oleh itu buatlah penyelidikan sediri dan yakinlah kajian anda itu tepat dan betul, mempunyai keriss atau barang pesaka bukan bukti yang sah ramai orang mengakui bahawa dia ada barang pesaka keturunan datok neneknya. Datuk nenek kita dulu banyak keris dan lembing dan anal-anak cucunya mungkin dapat seorang satu dan mengakui barang itu datuk neneknya Saya telah banyak menyelidik dan ramai yang mengakui mempunya keris dan hampir semua sama saja.
Pada penyelidikan saya Tok Tongkat dan Habib adalah orang berbeza, Tok Habib Abdullah adalah Tok Enggang adek beradik dengan Daeng Mat Kader, juga bernama Daeng Mat Tara atau Tok Tongkat. Buatlah kajian sendiri.
Ramai daripada anak cucu Tok Tongkat dan Daeng Habib Abdullah tidak tahu di mana kuburnya. Oleh itu buatlah inisiatif sendiri mengumpulkan anakcucunya memperkenalkan di mana kuburnya. Untuk sedekah fatihah tak semesti di kuburnya sedekahnya boleh dibuat di mana saja dan bila-bila saja dengan niat sedekah kepada datuk nenek kita. alfatihah.


Pakde NoranMay 31, 2010 09:16 AM
Semasa niat sedekah alfatihah lebih baik bermulakan dengan nabi MUHAMAD, ahli keluarga dan sahabatnya dan khas kepada sebut nama nama mereka seperti roh Daeng Selili, Tok Tongkat, Tok Habib Abdullah,lain-lain nama berkenaan berkaitan dengan diri sendiri dan muslimin dan muslimat
Alfatihah




.....................


More pictures...of Makam Daeng Selili, Tok tongkat ...
http://pakdenoran.blogspot.com/2010/06/menziarahi-pusara-daeng-sedili-tok.html



...................


http://www.scribd.com/doc/51899491/KETURUNAN-imam-kolah


...............



No comments: